Rabu, 27 Mei 2015

FGV Berbeza dengan syarikat Perladangan yang lain #FELDA


SEJAK Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) disenaraikan lebih dua tahun lalu di Bursa Malaysia, syarikat perla­dangan itu tidak pernah suram de­ngan pelbagai isu yang lebih cen­derung bersifat politik.

Pasaran sahamnya sentiasa diperhatikan oleh pihak pembangkang hingga hanya kesilapan yang kecil boleh dijadikan satu isu yang besar.

Mungkin juga ini berkait rapat dengan nama Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang juga pemegang saham terbesar FGV.

Bagaimanapun, ramai yang mungkin kurang menyedari bahawa apa yang menjadi tulang belakang FGV adalah berbeza dengan syarikat perladangan lain.

Untuk rekod, Felda memiliki ta­nah seluas 850,000 hektar di bawah Akta Tanah Berkelompok (GSA) yang mana seluas 479,765 hektar diusahakan oleh 112,635 keluarga peneroka sebagai tanah ladang dan penempatan.

Selebihnya, FGV menyewa tanah ladang Felda seluas 355,864 hektar di bawah Perjanjian Sewaan Tanah (LLA) bagi tempoh 99 tahun bermula 2012 hingga 2111.

Di bawah perjanjian tersebut, Felda akan menerima bayaran tetap sewa sebanyak RM248.5 juta setahun dengan klausa disemak setiap 20 tahun dan tambahan 15 peratus perkongsian keuntungan operasi bagi tanah terlibat dengan LLA setiap tahun.

Perkongsian keuntungan operasi bergantung kepada tiga perkara utama iaitu naik turun harga mi­nyak sawit mentah (MSM), kos dan jumlah pengeluaran buah tandan segar (BTS). Nilai ini yang akan menyebabkan jumlah bayaran LLA berubah setiap tahun.

Bermula pada 2012, FGV telah membayar LLA sebanyak RM388 juta pada purata harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM2,843 satu tan metrik. Pada 2013, apabila harga sebenar MSM turun kepada RM2,333 satu tan metrik, bayaran LLA adalah RM326 juta.

Bagaimanapun, pada 2014, harga purata MSM telah meningkat sedikit berbanding 2013 iaitu sebanyak RM2,410 satu tan metrik yang mana sekali gus bayaran tunai LLA turut meningkat sedikit kepada RM336 juta berbanding 2013.

Kekeliruan yang sering timbul disebabkan perkara ini, untuk tujuan perakaunan, jumlah wang tunai yang dibayar tidak diambil kira. Sebaliknya nilai saksama yang perlu diambil kira.

Nilai saksama ini pula akan berubah-ubah bergantung kepada tiga faktor iaitu harga MSM, kos dan jumlah pengeluaran BTS. Kesannya kepada nilai semasa pula mengambil kira aliran tunai masa hadapan.

Ini adalah faktor antara utama mengapa terdapat perubahan ke­tara kepada keputusan kewangan FGV berakhir 31 Disember 2014 selepas LLA disertakan sekali.

Hasilnya, keuntungan FGV menyusut kepada RM521.86 juta atau 52.9 peratus berbanding RM1.108 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun 2013, berikutan kewujudan pendapatan luar biasa pada 2013 iaitu berjumlah RM824 juta pada 2013 manakala tiada pada 2014.

Nampak tidak adil untuk membandingkan FGV de­ngan syarikat perladangan lain kerana aspek keuntungan operasi tidak melibatkan liabiliti LLA.

Jika faktor ini ditekankan, prestasi kewangan FGV 2014 adalah lebih baik daripada 2013. Sekiranya diteliti, keuntungan operasi berjumlah RM1.03 bilion, me­ningkat 10 peratus berbanding 2013.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) 2014 (tidak termasuk LLA) pula mencecah RM1.5 bilion, meningkat 34.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Secara keseluruhan, FGV merekodkan perolehan kumpulan sebanyak RM16.434 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014, meningkat 30.8 peratus berbanding RM12.568 bilion yang dicapai dalam tempoh sama 2013.

FGV pada masa ini sedang melaksanakan program tanam semula melibatkan 15,000 hektar setahun dengan peruntukan kira-kira RM327 juta.

MIDF Research dalam nota kajiannya sebelum ini menyifatkan program tanam semula itu dapat membantu FGV bagi pertumbuhan jangka panjang, sekali gus meletakkannya dalam landasan tepat untuk muncul syarikat perladangan utama di rantau ini menjelang 2018.

Tiada ulasan: