Ahad, 14 Jun 2015

MB Kedah Mahu Belia Kedah bersama Kerajaan!



Dalam ucapan YAB MB Kedah di Persidangan Majlis Perundingan Belia Negeri Kedah Sidang 1 Tahun 2015 sebentar tadi.

Dato Seri menyentuh sedikit sebanyak pendapat beliau mengenai belia, diselitkan sikit pesanan dan nasihat kepada belia di Kedah hatta di Malaysia.

Sedikit petikan ucapan beliau,

Dalam abad ini, senario pembangunan belia berkembang dengan begitu cepat sekali. Arus dan ledakan globalisasi serta teknologi telah menghasilkan daya penggerak yang membentuk hala tuju baharu pembangunan belia negara. Hala tuju ini juga melahirkan beberapa trend baharu antara lainnya globalisasi, kolaborasi dalam kehendak dan kedapatan serta penggunaan teknologi yang maksima.

Globalisasi ini akan berterusan menjadi cabaran kepada golongan belia hingga menuntut kepada perubahan besar atau dalam istilah sekarang transformasi dalam hala tuju, kepimpinan dan sistem pengurusan supaya menjadi lebih bersifat antarabangsa, tidak jumud dan bercirikan hubungan jaringan yang berasaskan kepada kolaborasi dan komplementari.

Sebab itu pada hari ini, kita lihat golongan belia di negeri Kedah bersama-sama dengan kerajaan mewujudkan satu yang dikatakan kolaborasi untuk menjadikan Kedah sebuah negeri yang maju serta aman makmur. Slogan kita, Kedah Aman Makmur Bersama Memacu Transformasi merupakan satu agenda bersama memastikan Kedah, mencapai ke tahap yang boleh membanggakan semua.

Saya ingin menyarankan kepada para belia di negeri ini supaya sentiasa meningkatkan pengetahuan serta berfikir diluar kebiasaan agar dapat bersama membangunkan negara khususnya negeri kedah yang kita cintai ini.

Belia juga perlu menghayati visi dan misi kerajaan, mengetahui agenda pembangunan negeri dan negara serta memahami pendekatan strategik yang diambil kerajaan untuk jangka masa pendek dan panjang. Menerusi pemahaman dan penghayatan itu sekali gus akan memberi ruang kepada belia untuk melihat peluang dalam melibatkan diri berdasarkan potensi dan kepakaran masing-masing.

Kerajaan Negeri sentiasa mengambil kira kepentingan dan keperluan belia dalam melaksanakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan untuk kedah. Belia merupakan aset penting yang perlu dididik sebaik mungkin untuk memastikan negeri dan negara terus merdeka dalam segenap aspek dan untuk itu, perhatian besar dan bersungguh-sungguh perlu diberikan dari semua pihak sama ada dari kerajaan mahupun rakyat.

Tiada ulasan: